Saturday, August 9, 2008

Syaaban: Ada Apa Padanya?

Salam..... sekadar berkongsi...... Agak panjang, tapi disarankan untuk meluangkan masa untuk membaca dan menilai kedua-dua artikel di bawah. Kedua-duanya baik. Mudahan2 kita beramal dengan taqlid yang betul megikut keyakinan kita pada mana2 dalil yang sahih ataupun kuat... Sekadar mendorong kita semua untuk tidak melakukan sesuatu perkara mengikut budaya setempat tanpa kita mengetahui asal usul amalan sesuatu perkara.
Wallahu a'lam...

ARTIKEL 1 :

Assalamualaikum Warahmatullah.

Beberapa hari yang lalu saya dihubungi melalui Yahoo Messenger oleh seorang saudari kita dari Jakarta. Tujuannya adalah untuk meminta tolong saya untuk memberikan beberapa artikel mengenai bulan Syaaban ini untuk dimasukkan ke dalam majalah di sana. Namun oleh kerana beberapa artikel yang terdapat di dalam internet membincangkan secara munaqasyah dengan membawakan isu-isu khilaf maka saya mengambil keputusan untuk menolongnya menulis artikel ini.

Artikel ini saya sediakan dengan mengetepikan segala isu-isu khilaf dan membawakan fadilat-fadilat amal untuk dijadikan panduan kepada semua pembaca. Semoga kita dapat mengambil pengajaran darinya. InsyaAllah.

PENGENALAN
Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga.

Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:

01. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.
02. Keperkasaan dan ketinggian.
03. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.
04. Kasih-sayang dan kemesraan.
05. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.

ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN
01. Berkata Imam Nawawi: Hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam.Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.
02. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.
03. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.

ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN
Memperbanyakkan puasa sunat.
Saidatina Aisyah berkata: Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidatina Aisyah berkata:Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajib) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Melazimi Berzikir dan Berdoa
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.
(Riwayat Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Doa merupakan otak kepada ibadat.
(Riwayat at-Tarmizi).

Saidatina Aisyah berkata:Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa.
(Riwayat Muslim).

Sentiasa Bertaubat dan Beristigfar
Firman Allah Taala bermaksud: Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nur: ayat 31).

KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN
Adapun antara kelebihan malam Nisfu Syaaban itu ada disebutkan di dalam beberapa hadis. Di malam Nisfu Syaaban juga adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.
(Riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.
(Riwayat Baihaqi).

Berkata Imam Shafie:Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Berkata Imam Ghazali:Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaban.

MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN
Para tabiin ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara:

Pertama: Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

Kedua: Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian. Adapun cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidaklah pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. akan tetapi ia berlaku pada zaman tabiin dari penduduk Syam. Di kebanyakkan negara Arab dan Nusantara kebiasaanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dengan setiap satu bacaan dengan niat tersendiri sepertimana yang pernah diajarkan oleh para tok guru terdahulu.

Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya memandangkan dilakukan oleh para ulama zaman berzaman sejak dari dahulu lagi hinggalah kini. Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sendiri akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Adapun kebanyakkan masyarakat sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabiiin itu dan dilakukan juga oleh para ulama.

PENUTUP
Marilah bersama-sama kita memperbanyakkan amalan pada bulan Syaaban ini kerana padanya terdapat banyak kelebihan dan keutamaan yang mesti direbut. Tulisan ringkas ini adalah sekadar untuk mengingatkan mana-mana yang terleka dan alpa dalam menjalani hidup ini sebagai hamba Allah Taala yang amat kerdil lagi hina.

Saya juga tidak bercadang untuk memanjangkan tulisan ini dengan perbincangan berbentuk khilaf yang boleh memeningkan kepala masyarakat. Semoga kita semua berada di dalam redha Allah Taala setiap masa. InsyaAllah.

‘Memberi dan Berbakti’
Wallahu a'lam.
Sumber: http://www.iluvislam.com/

ARTIKEL 2 :

NISFU SYA’BAN: HENTIKAN PENYEBARAN HADIS PALSU
Ole : Abd al-Razzaq bin A.Muthalib

Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu.

Di antaranya ialah:
Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra:
Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar.
Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya.
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata:
Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya. Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.

Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

Al-Hafiz al-Iraqi berkata:
Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata:
Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu. (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya:
Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.

Beliau menambah lagi: Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya.
(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini.

Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah.

Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti: Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.
(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah.

Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang.

Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi: Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata.
(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.

Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis.

Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat.

Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.

Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah swt.

Moga bertambah ilmu kita dari hari ke hari...

No comments: