Monday, August 31, 2009

11 Ramadhan 1430

Salam 'Alaiyk....

Sekadar berkongsi bahan bacaan.. ada di senaraikan beberapa hadis yang dhaif & maudhu'... something new to me as well... mudah2an boleh direnungi & beroleh manfaat...

(Diambil dari sini dan sini)

Sejak sekian lama sunnah telah bercampur dengan hadis-hadis yang dhaif, palsu, dusta, hadis yang direka-reka dan mungkar. Namun hadis-hadis palsu ini tersebar luas di dalam masyarakat dengan banyak sekali, hingga mereka (para pendakwah) hampir tidak menyebutkan hadis-hadis yang sahih lantaran terpesona dengan hadis-hadis yang popular tetapi palsu ! Antara hadis yang masyhur, yang tersebar dan digunakan sebagai dalil kemuliaan bulan Ramadan ialah:-

“Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku dan Ramadan bulan umatku”

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menafikan kemuliaan bulan Ramadan, tetapi untuk menyanggah ‘pendustaan terhadap Rasulullah’ oleh sebahagian ulama yang menjadikan hadis tersebut sebagai bahan dakwah.

Ungkapan “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku dan Ramadan bulan umatku” ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaif, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu’at al-Islamiyyah, Halab, Syria).

Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah ‘Ali bin ‘Abdillah bin Jahdam al-Zahid yang meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah memang terkenal sebagai seorang ahli sufi pereka hadis di Mekah. Selain ungkapan di atas, beliau juga adalah pembuat hadis palsu mengenai ’solat Raghaib’, iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab.(lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-’Itidal fi Naqd al-Rijal, 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, Beirut)

Sesuatu yang bukan datang dari lisan Rasulullah tetapi dikatakan dari Rasulullah, adalah satu pendustaan yang sangat tidak wajar. Nabi SAW bersabda :

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (mengguna namaku) tidak seperti berdusta ke atas orang lain. Barangsiapa berdusta ke atasku, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” Hadis ini adalah mutawatir (Riwayat Bukhari dalam kitab al-Janaiz dan oleh Muslim dalam muqaddimah sahihnya).

“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka”. (Riawayat Bukhari dalam kitab al-’Ilm dan oleh Muslim dalam muqaddimah sahihnya).

“Pada akhir zaman akan ada para DAJJAL lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka, agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu” (Riwayat Muslim dalam muqaddimah sahihnya).

Tulisan ini bukan bertujuan menimbul polemik atau konflik pendapat di bulan yang mulia ini, tetapi sebagai pengajaran dan mahasabah kepada para pendakwah supaya berhati-hati dalam menyampaikan dakwah Islam, supaya orang awam tidak disogok dengan ’Islam klon’ sebaliknya hanya menerima Islam yang murni, yang bersih dari syirik, kurafat dan bida’ah, yang benar-benar datang dari Rasulullah SAW.

Hadis Pertama

Ertinya : ”Sekiranya setiap hamba tahu apa yang ada (kelebihan) di dalam Ramadhan, nescaya umatku menuntut sepanjang tahun adalah Ramadhan. Sesungguhnya syurga dihiasi untuk Ramadhan dari awal tahun kepada tahun berikutnya ….” hingga akhir hadits ini.

Hadits ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (No. 886) Abu Ya’la di dalam Musnadnya,dan Ibnul Jauzi di dalam Kitabul Maudhuat (2/188-189) dan juga pada Al-Muthalibul ‘Aaliyah dari jalan Jabir bin Burdah dari Abu Mas’ud al-Ghifari.

Hadits ini maudhu’ (palsu), penyakit hadits ini ialah pada Jabir bin Ayyub. Ibnu Hajar di dalam Lisanul Mizan (2/101) berkata : “Jabir bin Ayyub terkenal dengan kelemahannya“. Juga dinukilkan perkataan Abu Nua’im, ” Orang ini pemalsu hadits“, dan Bukhari berkata, “Jabir adalah Mungkarul hadits” dan dari An-Nasa’i, “Orang ini Matruk (tidak boleh diterima haditsnya)“.

Ibnul Jauzi menghukumi hadits ini sebagai hadits palsu, dan Ibnu Khuzaimah berkata serta meriwayatkannya, “Dalam hatiku ada keraguan pada Jarir bin Ayyub Al-Bajali”.

Hadis Kedua.

Artinya : ”Berpuasalah, nescaya anda akan sihat”

Hadits tersebut merupakan potongan dari hadits riwayat Ibnu Adi di dalam Al-Kamil (7/2521) dari jalan Nahsyal bin Sa’id, dari Ad-Dhahak dari Ibu Abbas. Nashsyal adalah ditolak pendapatnya kerana dia seorang pendusta, manakala Ad-Dhahhak pula tidak mendengar dari Ibnu Abbas.

Diriwayatkan oleh At-Thabrani di dalam Al-Ausath (1/q 69/Al-Majma’ul Bahrain) dan Abu Nu’aim di dalam At-Thibun Nabawiy dari jalan Muhammad bin Sulaiman bin Abi Dawud, dari Zuhair bin Muhammad, dari Suhail bin Abi Shalih dari Abu Hurairah. Juga diriwayatkan oleh Ibn Bukhait dalam al-Juz’ie.

Dan sanad hadits ini sangat lemah, penyakitnya ialah pada Zuhair bin Muhammad. Berkata Ibnu Abi Hatim berkata, “Hafalannya jelek dan hadits dia dari Syam lebih mungkar daripada haditsnya semasa di Iraq, kerana jeleknya hafalan dia”. Al-Ajalaiy berkata. “Hadits ini tidak membuatku kagum”, demikianlah yang terdapat pada Tahdzibul Kamal (9/417).

Para Imam hadits mengatakan Zuhair adalah seorang yang mungkar, dan hadits ini adalah salah satu darinya.

Hadis Ketiga

Ertinya : ”Inilah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka”

Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (1887) dan Al-Muhamili di dalam Amalinya (293) dan Al-Asbahani dalam At-Targhib (q/178, bertulisan tangan) dari jalan Ali bin Zaid Jad’an dari Sa’id bin Al-Musayyib dari Salman.

Hadits ini sebenarnya adalah satu hadits yang panjang ;

Ertinya : ”Wahai manusia, sungguh bulan yang agung telah datang, bulan yang di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, Allah menjadikan puasa (pada bulan itu) sebagai satu kewajipan dan menjadikan solat malamnya sebagai amalan sunnah. Barangsiapa yang mendekatkan diri pada bulan tersebut dengan (mengharapkan) suatu kebaikan, maka sama nilainya dengan menunaikan perkara yang wajib pada bulan yang lain …. Inilah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka ….” sampai selesai.

Hadits ini sanadnya sangat Dhaif, kerana lemahnya Ali bin Zaid. Berkata Ibnu Sa’ad ”di dalamnya ada kelemahan dan jangan berhujjah dengannya”, berkata Imam Ahmad bin Hanbal, ”Dia tidak kuat”, berkata Ibnu Ma’in ”Orang ini dha’if”, berkata Ibnu Abi Khaitsamah ”Orang ini lemah dalam semua perkara”, dan berkata Ibnu Khuzaimah ”jangan berhujjah dengan hadits ini, kerana jelek hafalannya”. Demikian di dalam Tahdzibut Tahdzib (7/322-323).

Berkata Ibnu Hajar di dalam Al-Athraf, sumbernya pada Ali bin Zaid bin Jad’an, dan dia lemah, sebagaimana hal ini dinukilkan oleh Imam As-Suyuthi di dalam Jami’ul Jawami (no. 23714).

Dan Ibnu Abi Hatim menukilkan dari bapanya di dalam Illalul Hadits (I/249), katanya, ”ini hadits yang Mungkar”.

Hadis Keempat

Ertinya : “Barangsiapa yang berbuka puasa satu hari di bulan Ramadhan tanpa keuzuran dan sakit, nescaya dia tidak dapat menggantinya dengan berpuasa selama setahun sekalipun ia berpuasa ganti satu tahun penuh”

Al-Bukhari menta’liknya tanpa sanad (Ibn Hajar, Fathul Bari 4/170) dan disambung Ibnu Khuzaimah di dalam Sahihnya (1987), At-Tirmidzi (723), Abu Dawud (2397), Ibnu Majah (1672) dan Nasa’i di dalam Al-Kubra sebagaimana pada Tuhfatul Asyraaf (10/373), Baihaqi (4/228) dan Ibnu Hajjar dalam Taghliq al-muta’lliq (3/170) dari jalan Abil Muthawwas dari ayahnya dari Abu Hurairah.

Berkata Ibnu Hajar berkata dalam Fathul Bari (4/161) : “Dalam hadits ini ada perselisihan atas rawi Habib bin Abi Tsabit dengan perselisihan yang banyak, hingga kesimpulannya ada tiga penyakit besar : idhthirab (tidak stabil), tidak diketahui keadaan Abil Muthawwas dan berlaku syak pada pendengaran, adakah ayah beliau ada mendengar dari Abu Hurairah”.

Ibnu Khuzaimah berkata setelah meriwayatkannya, ”aku tidak mengenal Abil Muthawwas dan tidak pula mengenali ayahnya”.

Pendapat Imam Hadis

Sebahagian dari kaum muslimin menyangka bahawa mengamalkan hadits-hadits dha’if untuk fadhaailul a’mal atau targhib dan tarhib. Sedangkan dalam kitab-kitab mushthalah dan menurut mazhab Imam Malik, Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Yahya bin Ma’in, Abdurrahman bin Mahdi, Bukhari, Muslim, Ibnu Abdil Bar, Ibnu Hazm dan para imam hadits yang lainnya, mereka semuanya bersependapat tidak boleh beramal dengan hadis dha’if secara mutlak meskipun untuk fadhailul a’mal apa lagi kalau hadis itu telah nyata kepalsuannya.

Tidak syak lagi inilah mazhab yang benar. Kerana tidak ada hujjah kecuali dari hadis-hadis yang telah tsabit dari Rasulullah SAW. Inilah juga pegangan Imam Syafi’e rahimahullahu ta’ala sebagaimana wasiatnya yang masyhur :

“Apabila sahih sesuatu hadis, maka itulah mazhabku”.

Sekali lagi diulangi, tulisan ini bukan bertujuan menimbul polemik agama di bulan yang mulia ini. Berhati-hatilah wahai para ustaz dan tuan guru ketika menyampaikan kuliah atau Tazkirah Ramadhan atau juga ketika berkhutbah Jumaat, supaya orang awam tidak disogok dengan hadits-hadits palsu yang boleh membawa kepada syirik, kurafat dan bida’ah lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini, bulan di mana pahalanya berganda.

(Tulisan ini adalah dipetik dan disunting semula daripada sebahagian ’polemik ilmiah’ antara Abu Ihsan@DAP MELAYU dengan Dandarawi S, berhubung dengan beberapa tulisan beliau di ruangan Agama, Berita Harian pada bulan Oktober 2003)

No comments: